Sambungan dari siri ketiga….
MENGAPA PERLU MEMELIHARA JANGGUT?
Siri sebelum ini telah dilampirkan dalil-dalil pensyariatan pemeliharaan janggut menurut Islam, hukumnya secara ringkas menurut pendapat para ulama salaf dan kontemparari dan hujah serta dalil bagi setiap pendapat. Kali ini perbahasan mengenai hikmah disebalik pensyariatan amalan sunnah tersebut.
1) Pemeliharaan janggut merupakan fitrah kemanusiaan dan kelelakian
Allah s.w.t mencipta umat manusia sebagai hambanya bersesuaian dengan fitrah yang dijadikan oleh Allah sesuai dengan diri mereka, firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 30:
“Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu , wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Ayat di atas menerangkan bahawa agama Islam yang lurus ini bertepatan dengan fitrah manusia. Fitrah manusia yang normal pasti menginginkan landasan kehidupan yang disenangi oleh syarak, bersih, selesa dan ketrampilan yang bersesuaian dengan perlaku jantina. Pemeliharaan janggut merupakan salah satu daripada yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai perkara-perkara fitrah, seperti sabdanya:
“Sepuluh perkara fitrah, iaitu memotong (merapikan) misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh ruas jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinjak.” Kata Mus’ab r.a: Aku lupa yang kesepuluh, melainkan ia adalah berkumur-kumur.” (Hadith riwayat Muslim).
2) Memelihara janggut merupakan sunnah nabi Muhammad s.a.w dan para nabi dan rasul.
Sheikh al-Qaradhawi memberi komentar tentang dakwaan yang menyatakan bahawa terdapat riwayat yang menyatakan bahawa nabi s.a.w pernah mencukur janggut adalah satu dakwaan yang batil, palsu dan penuh dengan pembohongan( Ibid). Pemeliharaan janggut bukan hanya sunnah nabi Muhammad s.a.w, tetapi ia juga merupakan sunnah amalan para nabi dan rasul a.s sebelum baginda s.a.w. ini dapat dibuktikan melalui frman Allah s.w.t di dalam surah Taha ayat 94 yang menceritakan bicara nabi Harun a.s kepada saudara kandungnya nabi Musa a.s,
“Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!”.
3) Memelihara janggut adalah amalan salafussoleh( generasi sahabat dan tabi’ien)
Generasi salafussoleh adalah yang disifatkan oleh para ulama sebagai generasi emas kerana zaman yang begitu dekat dengan nabi s.a.w. Para sahabat merupakan golongan yang benar-benar menyaksikan kenabian baginda s.a.w dan di zaman mereka juga turunnya wahyu Allah s.w.t kepada Rasulnya s.a.w, mereka r.a hidup dibawah didikan dan tarbiyah nabi Muhammad s.a.w. Manakala generasi tabi’ien merupakan anak murid kepada sahabat-sahabat yang bertebaran di seluruh pelosok dunia untuk menyampaikan risalah Allah s.w.t. Begitu juga golongan atba’ tabi’ien merupakan golongan yang banyak berguru dengan tabi’ien yang banyak mengambil manfaat daripada sahabat-sahabat baginda. Sesungguh setiap muslim di wajibkan oleh agama agar memahami agama Islam melalui fahaman salafussoleh kerana mereka lebih memahami apa yang diinginkan oleh Rasulullah s.a.w dari umatnya. Ini telah dijelaskan oleh baginda s.a.w bahawa generasi emas ini adalah sebaik manusia untuk dijadikan contoh selepas Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:
“Sebaik-baik kurun(generasi untuk diikuti) ialah kurunku, kemudian diikuti kurun selepas mereka dan kemudian lagi kurun selepas mereka” . Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Terdapat hadith lain yang menguatkan bahawa kita wajib mengikuti manhaj(metodologi) salafussoleh terutama dari kalangan khulafa’ rasyidin di dalam memahami kitab Allah dan sunnah Rasulnya, sabda baginda lagi:
“Hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ ar-Rasyidiin yang memberi petunjuk selepas ketiadaanku, berpeganglah kepadanya hendaklah kamu gigitnya dengan geraham kamu(jangan sama sekali melepaskannya) , hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan di dalam agama, sesungguhnya perkara yang diadakan di dalam agama adalah bid’ah, setiap yang bid’ah itu adalah sesat, setiap yang sesat itu tempatnya di neraka”.(Hadith riwayat at-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Imam Ahmad, al-Hakim dan dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani).
Sepertimana yang telah dinyatakan pada siri yang lepas, bahawa Sheikh al-Qaradhawi menegaskan bahawa tiada riwayat yang menyebut bahawa ada di kalangan salafussoleh samaada dari kalangan sahabat, tabi’ien dan atba’ tabi’ien mencukur janggut. Malah sabit menurut riwayat bahawa al-Khulafak ar-Rashidin Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali adalah individu yang lebat janggutnya sepertimana yang disebut oleh Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu’ Fatawa.
4) Beranggut dan berkumis nipis adalah identiti seorang lelaki muslim
Pada siri yang pertama telah dilampirkan hadith-hadith yang memerintah untuk memelihara dan menebalkan janggut dan menipis atau mencukur misai. Jelas kelihatan pada matan(lafaz) hadith2 tersebut menyatakan sebab pensyariatan berjanggut dan menipiskan kumis adalah untuk menyanggahi kaum kuffar. Jika diamati amalan kaum kuffar di dunia ini rata-ratanya memiliki indentiti yang berlainan dengan perintah Rasulullah s.a.w.
Cuba kita lihat kaum Yahudi di Manchester, mereka menebalkan janggut dan misai, begitu juga kaum Zionis di timur tengah. Paderi-paderi di Vatican, pada penglihatan saya kesemuanya tidak berjanggut dan tidak bermisai begitu juga masyarakat barat majoritinya memilih untuk tidak berjanggut dan tidak bermisai, ramai juga yang memilih identiti bermisai tetapi tidak berjanggut. Masyarakat Hindu di seluruh dunia terutama di negara India, ramai yang gemar bermisai tebal(kadangkala macam misai A. Galak). Manakala penganut agama Kristian Ortodok di negara-negara Arab terutama paderi-paderinya mengamalkan janggut dan misai yang tebal sama seperti Yahudi dan sebahagian mereka menebalkan misai dan mencukur janggut. Dengan pengamatan tentang amalan-amalan kaum kuffar di atas, maka wajarlah kita mengamalkan sunnah yang dianjurkan oleh baginda s.a.w. yang mana ia merupakan satu identiti yang dapat membezakan di antara kita dengan bukan Islam.
WALLAHU A’LAAM
Bersambung.. ......... .
Abu Ruqayyah
Daimler st.
No comments:
Post a Comment