Thursday, December 13, 2007

Janggut - Siri 1

HUKUM JANGGUT MENURUT ISLAM

Memelihara janggut adalah satu amalan yang sering dikaitkan dengan insan yang paling agung Muhammad s.a.w. Individu muslim yang cintakan nabi s.a.w menganggap bahawa ia merupakan salah satu daripada syiar Islam yang perlu dipertahankan. Malah jika ia dihina dan dipertikaikan amalan tersebut, kebangkitan sebagai pembelaan bakal dilihat. Namum terdapat segelintir masyarakat yang kurang pengetahuan tentang sunnah menyatakan bahawa berjanggut ini hanya adat masyarakat Arab, atau ketiadaan alat pencukur menyebabkan nabi terpaksa membiarkan janggutnya tumbuh. Maka menurut mereka janggut bukan satu amalan sunnah yang digalakkan. Di samping itu juga terdapat golongan lain yang cuba lari dari hakikat sunnah tersebut dengan mendakwa bahawa berjanggut bukanlah satu sunnah yang sangat dituntut, banyak lagi sunnah yang lebih perlu dilakukan.

Walauapa pun tanggapan yang dilontarkan mengenai pemeliharaan janggut, namun ia memerlukan hujjah yang kuat untuk menyokongnya. Adakah ia merupakan sunnah yang dituntut untuk diamalkan atau sekadar adat bangsa Arab, bukan untuk kita yang hidup dengan adat istiadat Melayu, atau ia bukanlah satu sunnah yang dituntut? Setiap persoalan di atas perlu dijawab berlandaskan perbahasan ilmiah, iaitu rungkaian permasalahan yang bersandarkan kepada kitab Allah dan hadith Rasulnya serta dikuatkan dengan pemahaman salafussoleh( generasi sahabat dan tabi’ien) dan penjelasan para ulama.


PEMELIHARAAN JANGGUT MENURUT KACAMATA SUNNAH

Terdapat banyak di dalam kitab-kitab catatan hadith-hadith yang diriwayatkan dari Baginda s.a.w yang menyebutkan perintah Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya r.a agar memelihara janggut seperti sabdanya:
“Berbezalah kamu semua dengan kaum musyrikin, peliharalah janggut dan nipiskan misai”. Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam Sahih mereka.

Manakala Imam Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya dan Muslim juga meriwayatkan hadith tersebut dengan lafaz yang lain:
“Nipiskan misai dan tebalkan janggut, berlawananlah dengan kaum Majusi”

Bukhari dan Muslim ada mencatatkan lafaz Hadith yang sedikit berbeza dengan kedua-dua riwayat di atas;
“Cukurlah misai dan tebalkan janggut, berbezalah dengan kaum Musyrikin”

Perintah agar berbeza atau berlawanan dengan kaum Musyrikin telah dijelaskan oleh Abu Hurairah r.a:
“Sesungguhnya kaum Musyrikin melebatkan misai-misai mereka dan menipiskan janggut mereka, maka tebalkan janggut dan nipiskan misai”, Hadith riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih.

Kenyataan dari Abu Hurairah di atas adalah berdasarkan sabda nabi s.a.w yang menyebut:
“Berbezalah dengan kaum Majusi kerana mereka memanjangkan misai mereka dan memendekkan janggut mereka”, Hadith riwayat Muslim.

Berdasarkan riwayat-riwayat hadith yang disebutkan di atas menunjukkan tentang pensyariatan pemeliharaan janggut di dalam Islam dan ia bukan tertumpu pada janggut sahaja bahkan ia melibatkan misai iaitu diperintahkan agar ia dinipiskan di samping perintah menebalkan janggut.


HUKUM JANGGUT MENURUT MAZHAB 4

Majoriti dari kalangan ulama berpendapat bahawa memelihara janggut adalah wajib dan haram mencukurkan. Ini adalah menurut pendapat dari mazhab HANAFI(Rujuk: al-Kaasaaniy. Badaai’ as-Sonaai’), MALIKI(at-Tamhiid, Ibnu Abd al-Barr), HANBALI(al-Mardawiy, al-Insaaf) dan sebahagian dari ulama mazhab SYAFI’IE(Ibnu Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj).

Manakala sebahagian besar dari ulama yang bermazhab Syafi’ie berpendapat bahawa memelihara janggut adalah sunat muakkad(sangat dituntut) dan mencukurnya adalah makruh hukumnya. Ini merujuk kepada pendapat Imam al-Ghazali, Zakaria al-Ansari(al-Dimyaati, Haasyiah I’aanah at-Tolibin) dan al-Qaadhi ‘Iyaad(‘Iyaad, Syarh Sahih Muslim).


MEMELIHARA JANGGUT MENURUT ULAMA MODEN

Prof. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi memilih pendapat bahawa memelihara janggut adalah sunnah muakkad dan mencukurnya adalah makruh berdasarkan kenyataannya seperti berikut, “Apa yang kita dapati bahawa hukum mencukur janggut ada tiga pendapat: iaitu pertama, pendapat yang mengatakan haram mencukurnya seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Taimiyyah dan selainnya. Kedua hukumnya adalah makruh seperti yang disebut di dalam kitab Fath al-Baari yang diambil dari kata al-Qaadhi ‘Iyaad dan ketiga ada pendapat yang mengatakan harus, ini adalah pendapat segelintir ulama kontemperari. Pendapat yang sederhana, paling dekat dan paling adil adalah pendapat yang menyatakan bahawa mencukurnya adalah makruh”
(
http://www.qaradawi .net/site/ topics/article. asp?cu_no= 2&item_no=1174&version=1&template_id= 5&parent_id=12)

Al-Marhum Sheikh Ali Jaadul Haq(Bekas Sheikh al-Azhar) sependapat dengan Sheikh al-Qaradhawi dengan menyatakan, “Antara permasalahan feqh ialah isu janggut di mana berlaku khilaf di antara ulama pada hukum yang berlegar di antara menebalkan janggut dan mencukurnya. Sehingga sebahagian daripada ulama meletakkannya sebagai Syiar Islam yang menjadi ukuran pembezaan di antara orang mukmin dengan selainnya(bukan Islam). Yang hak ialah para ulama feqh bersepakat bahawa tidak mencukur janggut adalah sabit dari Rasulullah s.a.w………Begitu banyak hadith dari baginda s.a.w menggalakkan agar memelihara dan menebalkan janggut serta tidak mencukurnya”
(
http://www.islamonl ine.net/servlet/ Satellite? pagename= IslamOnline- Arabic-Ask_ Scholar/FatwaA/ FatwaA&cid=1122528601142)

Manakala Sheikh ‘Atiyyah Saqar(bekas pengerusi badan fatwa al-Azhar) memilih pendapat yang menyatakan wajib memelihara janggut, menurut beliau selepas menyebut pendapat2 para ulama berkisar hukum janggut: “Inilah pendapat-pendapat mengenainya, bagi setiap muslim boleh memilih mana-mana pendapat yang mana dirasakan tenang untuk diamalkan. Saya meneliti dalil-dalil perintah adalah begitu kuat, sesungguh pendapat yang menyatakan hukum memelihara janggut adalah wajib merupakan pendapat yang paling rajih(dekat kepada kebenaran).”
(
http://www.islamonl ine.net/servlet/ Satellite? pagename= IslamOnline- Arabic-Ask_ Scholar/FatwaA/ FatwaA&cid=1122528601142)


Menurut Prof. Sheikh Wahbah al-Zuhaili(ulama terkenal dari Syria ) memberi fatwa berkenaan isu janggut di dalam laman web rasminya: “Mencukur janggut menurut mazhab Hanafi adalah makruh yang sangat hampir kepada haram, haram menurut mazhab Maliki dan Hanbali dan Makruh menurut mazhab Syafi’ie. Mengekalkan( membiarkan ia tumbuh) janggut adalah sunat samaada lengkap(janggut beserta jambang) atau tidak(janggut sahaja) ”
(
http://www.zuhayli. net/fatawa_ p31.htm)

Selain itu secara ringkasnya, terdapat pendapat daripada kalangan ulama dari Jazirah Arab iaitu Arab Saudi, Yaman dan Negara-negara Teluk. Boleh dikatakan hamper semua ulama dari sana seperti al-Marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baaz(bekas mufti Arab Saudi), al-Marhum Sheikh Muhd Solih al-Uthaimin, Sheikh Muhd Jibrin, Sheikh al-Munajjid, Sheikh Muqbil, Sheikh Rabie’ al-Madkhali, Dr. ‘Aaid al-Qarni, Dr. Salman al-‘Audah dan lain-lain lagi, mereka memilih pendapat majoriti ulama salaf iaitu wajib memelihara janggut dan haram mencukurnya.

Kesimpulannya, hukum berkenaan pemeliharaan janggut merupakan khilaf di antara para ulama. Majoriti tradisi dan moden berpendapat ia adalah wajib, namun terdapat juga dari kalangan ulama yang lain memegang pendapat yang menyatakan ia adalah sunnat muakkad. Sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Atiyyah Saqar yang meskipun beliau sendiri memilih pendapat yang menyatakan wajib tetapi beliau memberi pilihan kepada golongan awam untuk memilih di antara pendapat yang dirasakan selesa, dan beliau menyeru agar setiap muslim tidak seharusnya ta’asub dengan satu pendapat. Malah perlu menghormati pendapat dan pengangan orang yang lain.

Wallahu A’laam

Bersambung………….


Abu Ruqayyah
12 Daimler st
07515649242

No comments: