Sambungan dari siri 1...
HUJAH SETIAP PENDAPAT MENGENAI JANGGUT
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, para ulama berselisih pendapat tentang hukum pemeliharaan janggut. Setiap pendapat yang dilontarkan berdasarkan hujah yang tersendiri di dalam mentakwil dan mentafsir hadith baginda s.a.w. Di sini disebut secara ringkas hujah yang digunakan oleh setiap pihak di kalangan ilmuan Islam:
1. Majoriti ulama dari pengikut Imam Abu Hanifah, Imam Maalik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa memelihara janggut adalah wajib. Dalilnya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Hadith riwayat Bukhari)
Golongan ini berpendapat bahawa perintah Rasulullah s.a.w. di atas membawa maksud wajib. Ini dikuatkan dengan perintah Nabi s.a.w. agar umat Islam hendaklah berbeza dengan orang-orang musyrik. Sepertimana yang disebut di dalam sepotong hadith Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (Hadith riwayat Abu Daud).
2. Segolongan ulama berpendapat dari kalangan penerus mazhab Imam Muhammad bin Idris as-Syaafi’ie berpendapat bahawa bahawa memelihara janggut adalah sunat muakkad. Makruh mencukurnya. Dalilnya, hadis: “Sepuluh perkara fitrah, iaitu memotong (merapikan) misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh ruas jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinjak.” Kata Mus’ab r.a: Aku lupa yang kesepuluh, melainkan ia adalah berkumur-kumur.” (Hadith riwayat Muslim)
Golongan ini berpendapat hadis ini menunjukkan bahawa memelihara janggut adalah sunat. Kerana apa yang disebutkan pada hadis di atas tidak semuanya wajib. Contohnya seperti bersugi, memasukkan air ke hidung dan memotong kuku – Ini adalah sunat sahaja.
3. Sebilangan kecil ulama kini iaitu Sheikh Abu Zuhrah dan Sheikh Mahmud Syaltut mengatakan bahawa memelihara janggut adalah harus sahaja, tidak sunat dan tidak wajib. Tidak sunat di sini bermaksud ia tergolong di bawah sunah za’idah. Mereka beranggapan bahawa memelihara janggut adalah berkaitan dengan adat dan tradisi sahaja..
Di bawah pendapat ini, memelihara janggut dan mencukur misai termasuk di dalam sunat za’idah. Iaitu perbuatan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. berdasarkan adat kebiasaan baginda sebagai seorang manusia. Seperti makan, minum, berpakaian dll. Beliau melakukannya bukanlah untuk memberi petunjuk hukum syarak tetapi atas dasar dia sebagai seorang manusia biasa. Mereka yang melakukannya dengan tujuan mengikut nabi s.a.w. akan diberi pahala. Ia adalah sebahagian dari kesempurnaan dan kebaikkan mukallaf. Ia menunjukkan kasih sayang dan kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w.
Walaubagaimanapun pendapat yang ketiga ini ditolak oleh para ulama yang berpegang kepada hukum wajib dan sunnat muakkad dengan beralasan jika pemeliharaan janggut merupakan adat dan tradisi masyarakat Arab di zaman nabi, mengapa baginda mengeluarkan perintah agar ia dilaksanakan oleh setiap sahabatnya? Malah ia dikaitkan dengan perbezaan di antara muslim dan bukan muslim. Bercanggah dengan kaum bukan Islam merupakan satu tanggungjawab setiap Muslim.
Begitu banyak perbuatan-perbuatan yang dilakukan baginda dikira sebagai tuntutan kehidupan baginda sebagai manusia dan sifat kearaban beliau seperti menunggang unta atau berjalan kaki untuk bermusafir, makan di atas lantai, fesyen pakaian nabi s.a.w dll. Ini berdasarkan tiada perintah nabi yang menuntut untuk dilakukan. Sebagai contoh nabi s.a.w gemar memakan kaki kambing, kaki kambing yang berupa makanan ini tidak boleh disamakan dengan buah tamar. Kerana buah tamar terdapat galakan dari baginda untuk menikmatinya berbanding kaki kambing. Maka kaki kambing hanya merupakan adat nabi sebagai manusia biasa yang ada makanan kegemaran, manakala tamar sememangnya wujud hadith galakan dari nabi s.a.w untuk memakannya, jadi ulama mengketogarikan ia sebagai sunat dan bukan hanya sekadar adat.
Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Bahkan sebahagian besar umat Islam mencukur janggut mereka kerana mencontohi musuh-musuh agama mereka dan kaum yang menjajah tanahair mereka dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Sepertimana kebiasaannya kaum yang ditewaskan mengikut kaum yang menang di dalam keadaan meninggalkan suruhan Rasulullah s.a.w agar bercanggah dengan kaum kuffar dan larangan menyerupai mereka, “sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu maka dia tergolongan dalam golongan mereka”(Hadith)………… Tiada satu riwayat pun yang menyebut ada di antara kalangan salafussoleh( generasi sahabat dan tabi’ien) yang meninggalkan kewajipan(janggut) tersebut. Segelintir dari kalangan ulama kini yang meletakkan hukum harus bagi mencukur janggut kerana mereka terkesan dengan keadaan semasa dan tunduk kepada masalah tidak dapat dielakkan. Mereka menyatakan bahawa memelihara janggut adalah amalan kebiasaan Rasulullah s.a.w bukan satu amalan yang disyariatkan yang dikira ibadat. Yang hak lagi benar adalah memelihara janggut bukan hanya sabit dengan perintah nabi sahaja bahkan juga dengan perintah yang jelas lagi nyata sebagai ‘illah(sebab) supaya berlainan dengan kaum kuffar. Ibnu Taimiyyah r.h.m telah menetapkan dengan haknya bahawa percanggahan dengan kaum kuffar merupakan apa yang dimaksudkan oleh syarak.”(Ibid)
WALLAHU A’LAAM
BERSAMBUNG.. ........
No comments:
Post a Comment