Tuesday, January 08, 2008

Gelang Magnet

Assalamu'alaikum wrbt.

Rakan-rakan sekelian, Tempoh hari(Sabtu 5/1/08) majlis tazkirah telah berlangsung dengan baik dan jayanya di kediaman rasmi saudara Zaini Abbas yang dianjurkan oleh saudara Zaini sendiri bagi pihak MCCH. Setelah program tazkirah berjalan, sesi bertukar-tukar pendapat dan fikiran berlangsung di antara para hadirin pada malam itu.

Antara topik yang agak hangat dibincangkan pada malam tersebut iaitu penggunaan 'gelang magnet' bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis.Salah seorang dari kalangan hadirin pada malam itu mengemukan bahawa terdapat sebuah hadith Nabi s.a.w melarang seorang sahabat yang memakai gelang kerana bertujuan perubatan. Selain itu juga ada yang melontarkan pendapat bahawa pemakaian gelang oleh golongan lelaki merupakan satu unsur menyerupai kaum wanita yang diharamkan oleh agama berdasarkan larangan yang jelas yang pernah disabdakan oleh Baginda s.a.w. Namun begitu ia tidak dikira sebagai pelanggaran ke atas syarak jika pemakaian gelang magnet adalah bertujuan perubatan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik.Yang menjadi pokok permasalahan sebenar pada malam itu, ianya berbalik kepada larangan memakai gelang oleh Nabi s.a.w bagi bertujuan perubatan sepertimana hadith yang telah disebutkan oleh salah seorang rakan di dalam majlis tersebut. Walaubagaimana pun masalah telah diselesaikan hasil perbincangan antara rakan-rakan yang hadir pada malam tersebut di samping perkongsian maklumat bersama pen'tazkirah' .Jadi, di sini saya ingin bawa maklumat tentang maksud sebenar hadith di atas untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang tidak hadir pada majlis tersebut atas keuzuran-keuzuran tertentu.

Imam Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan sepotong hadith di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada 'Imran bin Husain yang berbunyi:Maksudnya, Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: "Apakah ini?" Orang itu menjawab: "ianya daripada al-Wahinah." Sabda Nabi saw: "Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya. "

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah 'Imran bin Husain sendiri.
Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada 'Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan benar-benar mendengar daripada 'Imran bin Husain ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah, ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhaiffkan hadith ini.

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan menyebut, pertanyaan Nabi saw: "Apakah bendanya ini." Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

Manakala jawapan lelaki tersebut: "ianya daripada al-Wahinah." Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.
(Rujukan:
http://www.alfawzan .ws/AlFawzan/ Library/tabid/ 90/Default. aspx?view= page&PageID=35&pageno=1&bookid=32&sectionid=2)

Al-Syeikh 'Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud, Arab Saudi) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut… Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.
(Rujukan:
http://www.islamtod ay.net/questions /show_question_ content.cfm? id=43737)

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara' (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.
(Rujukan tambahan: http://al-qayyim.
dtdns.net/ v01/)

Wallahu A'lamAbu_Ruqayyah
12, Daimler St.

No comments: