Assalamu'alaikum wrbt..
Awal Muharram merupakan merupakan bermulanya tahun baru di dalam kalender Islam. Masyarakat kita telah didedahkan semenjak zaman berzaman lagi upacara membaca doa awal tahun dan akhir tahun. . Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si pengamal doa ini bahawa : "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun." dan juga "Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan".
Kata-kata siapakah ini? Apakah kata-kata dari manusia biasa boleh dijadikan sebagai hujah fadilat sesuatu amalan lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan aqidah? Sudah tentu sekali tidak boleh sama sekali. Perkara yang berkaitan dengan fadilat amal, dosa, pahala dan semua perkara yang berkaitan dengan akidah tidak boleh berhujah atau diambil dari kata-kata manusia biasa yang tidak maksum, meskipun ia merupakan seseorang yang begitu alim dan warak di dalam selok belok agama. Hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang berhak.
Yang paling menyedihkan sekali, kata-kata yang terkandung di dalamnya janji-janji syaitan itu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi sayangnya ujaran kata-kata di atas tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang menghimpun hadith-hadith baginda s.a.w seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasa’ie, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Sahih Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Khuzaimah dan lain-lain lagi. Maka jelaslah bahawa fadilat doa awal dan akhir tahun adalah palsu dan batil serta tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ketahuilah bahawa di situ terdapat amaran keras daripada Rasulullah s.a.w bagi sesiapa yang menyandarkan sesuatu perkara yang bukan dari baginda, Sabdanya:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Berdasarkan hadith di atas, para ulama hadith menekankan bahawa haram beramal dan menyebarkan hadith-hadith palsu apatah lagi disandarkan kepada baginda s.a.w bagi sesiapa yang mengetahui status kepalsuannya, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu al-Solah di dalam karangannya ‘’Ulum al-Hadith’ m.s 98:
“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya”.
Al-Imam an-Nawawi juga menjelaskan hukum berkenaan dengan hadith palsu di dalam mukaddimah karangannya ‘Syarh Sahih Muslim’:
“Haram meriwayatkan sesuatu hadith palsu bagi orang yang mengetahui bahawa hadith itu maudhu' atau dia hanya menyangka hadith ini palsu. Siapa yang menceritakan hadith yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya palsu serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad SAW di antara hadith tentang hukum-hukum dan hadith yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadith yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadith-hadith nasihat dan lain lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam.”
Seterusnya an-Nawawi berkata lagi: " Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.".
Selain itu, kebatilan riwayat doa tersebut dan fadilatnya dikuatkan dengan tiada riwayat yang menyatakan amalan ini diamalkan oleh golongan salafussoleh yang terdiri dari golongan sahabat dan tabi’ien. Jika benar amalan ini dari Rasul dan digalakkan di dalam Islam, nescaya para sahabat dan tabi’ien berlumba-lumba untuk melakukannya demi mengarap kebaikan disebalik amalan tersebut yang kononnya hebat fadilatnya. Begitu juga tiada riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w dan para sahabat r.a membaca doa tersebut secara berjemaah dan beramai-ramai. Apa yang thabit dari baginda s.a.w dan para sahabat r.a adalah membaca doa secara bersendirian.
Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca doa ini, kerana maknanya pun tidak menyalahi syarak. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama doa ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah doa ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan doa tersebut.
Semua orang maklum bahawa doa tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw sahaja. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syarak dan keterlaluan, maka bacalah apa sahaja doa yang kita hajati.
Abu Ruqayyah
------------ --------- --------- --
p/s: artikel ini tiada kaitan dengan sesiapa, ia hanya bertujuan untuk memupuk sikap saling ingat mengingati antara sesama muslim dan memberi tahu kepada yang tidak tahu. Semoga kita semua diberkati oleh Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment